(SUMBER UTUSAN MALAYSIA)
KUALA LUMPUR 24 Sept. – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menunggu kelulusan daripada Bank Negara bagi mengiktiraf Angkasa sebagai badan yang boleh memberikan perkhidmatan penuh patuh syariah terutama kepada sektor koperasi.
Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdllah berkata, permohonan telah dibuat pada 2015 lalu dan disokong sepenuhnya oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Kata beliau, buat masa ini sijil pematuhan syariah yang dikeluarkan oleh Angkasa belum lagi diiktiraf oleh Bank Pusat tersebut.
“Kelulusan tersebut amat penting kerana dapat memberikan nilai tambah kepada peranan Angkasa dalam melaksanakan prinsip muamalat Islam. Sehingga kini sebanyak 108 koperasi dan 432 produk telah menerima sijil kepatuhan syariah manakala 379 koperasi telah memohon.
“Sekiranya diluluskan sudah tentu masyarakat akan berasa lebih yakin terhadap perkhidmatan yang ditawarkan sekali gus merancakkan lagi sektor koperasi di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Konvensyen Koperasi Patuh Syariah Angkasa dan Universiti Kebangsaan Malaysia (Konsis) 2016 di Kompleks Tun Abdullah Mohd. Salleh, UKM Bangi dekat sini hari ini.
Yang turut hadir Pro Naib Canselor Strategi dan Pembangunan Korporat UKM, Datuk Ir. Dr. Mohd. Marzuki Mustafa dan Pengarah Konsis 2016, Dr. Salmy Edawati Yaacob.
Turut sama, Naib Presiden Angkasa, Datuk Mohamad Ali Hassan dan Dekan Falkuti Pengajian Islam UKM, Prof. Dr. Wan Kamal Mujani.
Konvensyen yang julung kali diadakan itu dihadiri lebih 330 orang peserta dan tiga kertas kerja utama turut dibentangkan oleh wakil dari UKM dan Angkasa.
Sementara itu, Fattah yang juga Presiden Koperasi Se-ASEAN merancang untuk menganjurkan konvensyen seperti ini ke peringkat lebih tinggi.
“Saya lihat konvensyen kali pertama diadakan hari ini mendapat sambutan amat menggalakkan. Pada tahun hadapan kita akan cuba buat dalam skala lebih besar di peringkat ASEAN pula,” katanya.